اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّد وَاَلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّم
…
Dalam aku menyelusuri liku liku hidup, aku sampai terlupa bahawa di bahuku ada batu besar yang sedang menghempap. Barangkali kerana sudah terbiasa menampal senyuman palsu, aku jadi lali menempuh satu demi satu ujian hidup.
Wahai Allah, datangkanlah kepadaku ujian yang besar. Aku tetap kuat dan berusaha untuk berdiri teguh dan kukuh walaupun acapkali hati ini selalu rapuh.
Wahai Allah, hancurkan segala harapan harapan yang aku petik. Biar aku jatuh terkulai, biar aku jatuh terduduk. Agar nanti saat aku bangkit kembali, aku mampu mengapai kekuatan yang luar biasa dari sebelum sebelum ini.
Wahai Allah. Ayuh pecahkan.
Pecahkan tembok hatiku. Biarkan aku meronta ronta mencari titik bangun yang baru. Agar nanti, saat aku meraba raba mencari puzzle kekuatan, aku berpaut pada pautan jambatan iman yang semakin teguh dan kukuh tanpa sebarang halangan.
Wahai Allah, izinkan malam malamku ditemani dengan tangisan demi tangisan. Kerana esok hari, saat aku disapa mentari pagi, aku sudah sedikit lega kerana telah melepaskan beban luka yang telah lama bersarang di dada.
"Kerana selagi tidak diuji, selagi tidak tersungkur, aku tidak rasai bagaimana nikmatnya hidup bertuhan"