Di rumah itu,
dinding masih berdiri,
tapi hatiku runtuh perlahan.
Ayah —
suaranya guruh yang memukul,
terbiasa memukul,
kasihnya berat sebelah,
matanya selalu mencari salah.
Mak —
baik, sabar, redha,
tapi sudah lama terluka,
kasihnya jadi serpih,
diberi hanya pada yang nampak di mata.
Aku,
bila pulang membawa rindu,
mengharap teduh,
namun sambutannya hambar,
seolah-olah aku tetamu asing
yang tak pernah ada sejarah di sini.
Bilikku,
pernah jadi saksi tawa dan rahsia,
kini berubah nama —
bilik kakngah, bilik raudhah,
sedang ruang untukku hilang perlahan.
Aku menapak,
namun terasa seperti saudara lelaki
yang hanya singgah,
tidak pernah benar-benar diterima.
Aku tersisih,
seperti helaian kertas lama
dibuang tanpa dibaca.
Saudara lelaki jua tiada tempat,
kami hanya singgah,
sekadar salam,
tidak lagi berteduh.
Aku rasa kosong,
aku rasa hilang,
aku rasa sunyi —
bukan kerana aku tiada keluarga,
tapi kerana keluarga
tidak lagi melihat aku sebagai aku.
Namun di tengah sunyi ini,
aku belajar sesuatu:
aku masih ada diri sendiri,
masih ada hati yang tahu menulis,
masih ada suara yang tidak boleh dipadam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan